Polis sahkan pelakon lelaki popular ditahan kes dadah

29 Jan 2026, 10:35 AM
Polis sahkan pelakon lelaki popular ditahan kes dadah

SHAH ALAM, 29 JAN: Polis mengesahkan penahanan pelakon lelaki terkenal selepas ujian saringan air kencing ke atasnya didapati positif dadah.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar ketika dihubungi hari ini mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut, lapor Harian Metro.

"Ya. Saya sahkan ada penahanan itu," katanya.

Terdahulu, media melaporkan pelakon berusia 40-an itu dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam semalam dan direman tiga hari sehingga esok.

Difahamkan pelakon itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Akta 15(1)(a) Dadah Berbahaya 1952 susulan keputusan ujian saringan air kencing yang didapati positif.

Sumber dilaporkan berkata, difahamkan pelakon terbabit akan didakwa dalam masa terdekat.

Sebelum ini, pelakon terbabit pernah ditahan berkaitan dadah apabila Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman selepas mendapati pelakon itu bersalah kerana menggunakan dadah dikenali THC.

Bagaimanapun, pelakon itu terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Rayuan membenarkan dia membayar hukuman denda RM5,000.