SHAH ALAM, 29 JAN: Pelakon lelaki yang ditahan polis selepas ujian saringan air kencing didapati positif dadah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
"Suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini," katanya ringkas ketika dihubungi malam ini.
Media hari ini melaporkan polis mengesahkan penahanan pelakon lelaki terkenal selepas ujian saringan air kencing ke atasnya didapati positif dadah.
Terdahulu, pelakon berusia 40-an itu dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam semalam dan direman tiga hari, lapor Harian Metro.
Difahamkan dia ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Akta 15(1)(a) Dadah Berbahaya 1952 susulan keputusan ujian saringan air kencing positif.
Sebelum ini, pelakon terbabit turut pernah ditahan berkaitan dadah apabila Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman selepas mendapati pelakon itu bersalah kerana menggunakan dadah dikenali THC.
Bagaimanapun, pelakon itu terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Rayuan membenarkan dia membayar hukuman denda RM5,000.


