Dikecam di media sosial, 'penghijrahan' penuh onak selebriti mualaf

10 Mac 2026, 4:00 AM
Dikecam di media sosial, 'penghijrahan' penuh onak selebriti mualaf

Selepas hampir dua dekad memeluk Islam, Adam Corrie Lee Abdullah bukan sekadar dikenang figura masyarakat tetapi suri teladan perjuangan mualaf yang menempuhi perjalanan penuh onak.

Sejak menerima hidayah pada 2007 ketika berusia 39 tahun, kehidupan beliau banyak berubah meskipun pengislamannya dirahsiakan selama setahun.

“Saya rahsiakan selama setahun sebab saya tahu apa orang akan kata, ini masuk Islam sebab hendak kahwin, sebab zakat, sebab duit,” katanya mengimbau tanggapan umum terhadap mualaf.

Meskipun keluarga terdekat menerima keputusannya dengan hati terbuka, reaksi masyarakat bukan semudah itu. Kecaman berlarutan di media sosial. Cacian itu pedih, bahkan memberi tekanan.

Kerjaya seninya juga terjejas selepas memeluk Islam. Ketika menjadi juri dan koreografer sebuah rancangan tarian, keputusannya dipandang serong. Makian bertalu-talu, seolah-olah melanggar batas agama.

“Saya tak sentuh perempuan, tak ajar perempuan menari, saya hanya juri tapi dia (pencaci) kata tak boleh, awak sudah masuk Islam,” kata Adam Corrie membalas kecaman berkenaan.

Pengalaman tersebut dijadikan pedoman. Betapa sesetengah pihak cepat menghakimi berbanding memberi peluang kepada mualaf yang kepayahan menyesuaikan diri dengan nilai baharu mereka.

Namun, beliau kesal kerana teguran dibuat tanpa berhemah. Tidak sedikitpun usaha memahami pergelutan yang dialami individu mualaf, sebalik dilabel atau dipersoal itu ini.

Usahawan itu percaya sebenar-benar dakwah bukan sekadar melalui teguran tajam tetapi membuka ruang perbincangan, bimbingan dan penerimaan yang membawa kepada kecintaan terhadap Islam.

Dalam membawa seseorang kepada Islam atau menerima saudara baharu, pendekatan berhemah, penuh hikmah dan penyayang jauh lebih berkesan berbanding menghakimi tindak-tanduk mereka.

Bagi Adam Corrie, aspek yang menjadi tunjang utama hidupnya sejak memeluk Islam ialah solat lima waktu sehari. Bukan sekadar ritual tetapi beliau mengekal hubungan rohani dengan-Nya.

Pelakon yang dahulunya dikenali sebagai Frankie Lee itu bukan berubah untuk diri sendiri sebaliknya beliau turut membimbing 30 individu lain menuju jalan keredaan-Nya.

Beliau yang kini berusia 58 tahun turut menyingkap proses penghijrahannya dalam forum Perkongsian Mualaf di Masjid Jamek Cina Muslim Klang awal tahun ini.

Pintu hatinya diketuk saat berumur 39 tahun. Sejak berjinak-jinak dengan Islam, Adam Corrie pernah meminta rakannya mengajar membaca al-Quran tetapi permintaannya tidak dilayan kerana beliau bukan Islam.

Dia juga ada meminta rakan lain mengajarnya doa tetapi ditolak atas alasan sama.

Adam Corrie berasa kecewa, langsung masuk bilik untuk tidur. Sebelum melelapkan mata, beliau berkata dalam hati: "Ya Allah, sekiranya Islam peganganku, berilah kepada aku" diikuti mimpi aneh.

Yakin dengan petunjuk mimpi tersebut, beliau keesokannya terus ke pejabat agama untuk mengucap dua kalimah syahadah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.