MBPJ teruskan Ramadan On Wheels@PJ di Pangsapuri Idaman

4 Mac 2026, 6:57 AM
MBPJ teruskan Ramadan On Wheels@PJ di Pangsapuri Idaman

SHAH ALAM, 4 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meneruskan Ramadan On Wheels@PJ di Pangsapuri Idaman, Petaling Jaya, semalam. 

Menurut MBPJ, program berkenaan mendapat sambutan amat menggalakkan dengan ratusan penduduk hadir membawa barangan kitar semula untuk ditebus dengan juadah berbuka.

“Menerusi program ini, penduduk boleh menukar barangan kitar semula seperti plastik dan tin dengan juadah berbuka berdasarkan berat barangan yang dikumpul. 

"Penebusan dibuat secara terus dalam bentuk makanan siap bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada penerima yang layak dengan kadar segera," menurut kenyataan MBPJ di Facebook. 

Penduduk tidak melepaskan peluang menukar barangan kitar semula seperti plastik dan tin dengan juadah berbuka sempena program Ramadhan On Wheels@PJ di Pangsapuri Idaman, Petaling Jaya pada 3 Mac 2026. Foto Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya

Pihak berkuasa tempatan itu memberitahu berkenaan dijadual berlangsung di enam lokasi kediaman terpilih sekitar Petaling Jaya, dengan Pangsapuri Idaman menjadi lokasi ketiga selepas Pangsapuri Baiduri dan Pangsapuri Gugusan Semarak.

Melalui program ini, seramai 160 penerima di setiap lokasi berpeluang menikmati set juadah berbuka tajaan Restoran Syed Bistro dan Restoran Original Penang Kayu Nasi Kandar. 

Terdahulu, sesi penebusan disempurnakan Ahli Majlis MBPJ Zon 1, Suriase Gengiah bersama Pengarah Pelesenan Pembangunan Perniagaan dan Usahawan MBPJ, Sharinaz Samsudin. 

Ahli Majlis MBPJ Zon 1, Suriase Gengiah memberi pek juadah berbuka kepada penduduk yang menukar barangan kitar semula sempena program Ramadhan On Wheels@PJ di Pangsapuri Idaman, Petaling Jaya pada 3 Mac 2026. Foto Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya

“Inisiatif ini bukan sahaja membantu meringankan beban komuniti sempena Ramadan, malah menggalakkan warga Petaling Jaya mengamalkan tanggungjawab bersama dalam kitar semula,” kata MBPJ lagi.

Sebelum ini, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat merasmikan inisiatif tersebut pada 25 Februari lalu. 

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang berkenan mencemar duli ke Bazar Ramadan SS 6/1, Kelana Jaya. Foto Facebook MBPJ

Apa reaksi anda?