Ramadan On Wheels @ PJ, tukar plastik dan tin dapat juadah berbuka

26 Feb 2026, 4:37 AM
Ramadan On Wheels @ PJ, tukar plastik dan tin dapat juadah berbuka
Ramadan On Wheels @ PJ, tukar plastik dan tin dapat juadah berbuka
Ramadan On Wheels @ PJ, tukar plastik dan tin dapat juadah berbuka

SHAH ALAM, 26 FEB: Pendekatan menukar barangan kitar semula kepada juadah berbuka puasa menerusi inisiatif Ramadan On Wheels @ PJ menjadi tarikan utama Program Santuni Bazar Ramadan “Lestari & Prihatin” 2026 anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Inisiatif berkenaan dirasmikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang berkenan mencemar duli ke Bazar Ramadan SS 6/1, Kelana Jaya.

Program itu akan digerakkan ke enam lokasi terpilih sekitar Petaling Jaya dan membolehkan orang ramai menukar barangan kitar semula seperti plastik dan tin kepada juadah berbuka puasa berdasarkan berat timbangan.

MBPJ memaklumkan pendekatan tersebut menggabungkan elemen kelestarian alam sekitar dan kebajikan komuniti secara kreatif.

Pada majlis sama, baginda turut berkenan menyampaikan Sumbangan Bakul Jalinan Kasih kepada 20 penerima B40 sekitar Kelana Jaya yang menerima barangan keperluan asas serta wang tunai RM200.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menyampaikan sumbangan kepada penerima di sekitar Kelana Jaya. Foto Facebook MBPJ

Selain itu, seramai 100 ibu tunggal menerima bantuan beras melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Pada Ramadan tahun ini, MBPJ menawarkan 1,316 petak niaga di 19 lokasi bazar dengan 1,140 peniaga telah berdaftar, mencatat kadar penyertaan 87 peratus.

"Kami komited membangunkan ekosistem bazar yang lebih teratur, inklusif dan mampan selaras aspirasi menjadikan Petaling Jaya bandar raya berdaya tahan dan sejahtera," katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, MBPJ memaklumkan sebanyak RM30,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan Kupon Digital Bazar Ramadan, manakala hampir 100 petugas digerakkan untuk memantau aspek keselamatan, kebersihan serta pematuhan lesen di semua lokasi bazar.

Sehingga 24 Februari lalu, sebanyak 153 notis, 131 kompaun dan 14 sitaan direkodkan hasil pemeriksaan yang dijalankan bagi memastikan peniaga mematuhi syarat ditetapkan.