Tiada dosa tersembunyi, setiap perbuatan diketahui Allah (VIDEO)

3 Mac 2026, 1:01 PM
Tiada dosa tersembunyi, setiap perbuatan diketahui Allah (VIDEO)

SHAH ALAM, 3 MAC: Surah al-Mulk ayat 13 mengingatkan bahawa segala perbuatan manusia, sama ada dilakukan secara terbuka atau tersembunyi, tetap diketahui oleh Allah.

Timbalan Mufti Pahang, Dato’ Dr Badli Shah Alauddin berkata walaupun ayat tersebut diturunkan khusus kepada kaum Musyrikin Quraisy di Makkah ketika itu, mesejnya kekal relevan dan merentasi zaman.

“Saya lihat ayat ini merentas zaman, bukan sekadar kepada Musyrikin Makkah, tapi jadi isyarat kepada kita hari ini bahawa seolah-olah Allah cakap secara halus ‘Engkau boleh sorok daripada orang lain tetapi bukan kepada Aku’.

“Mesej ayat ini merentas zaman. Mendidik kita bahawa adalah mustahil kita boleh sorokkan dosa, pasti Allah tahu. Allah tahu semuanya,” katanya.

Timbalan Mufti Pahang, Dato’ Dr Badli Shah Alauddin menghuraikan kandungan dan ayat Surah Al-Mulk dalam progam tadabbur al-Quran 30 hari 30 ayat bersama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian dalam program Tadabbur al-Quran 30 Hari 30 Ayat bersama Dato’ Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari dalam episod Ramadan ke-13.

Terdahulu, ayat berkenaan dibacakan oleh Amirudin dengan bimbingan Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi.

Mengulas lanjut, Badli Shah mengingatkan umat Islam agar menggunakan sisa usia dengan memperbanyakkan kebaikan serta menjauhi sikap yang dimurkai Allah, termasuk tingkah laku negatif di media sosial.

“Buanglah komen jelek (di media sosial), mesej jelek, toksik kepada orang dan mengata. Mungkin kita guna akaun palsu tapi Allah Maha Mengetahui. Insaflah sempena Ramadan ini,” katanya.

Tangkap layar rakaman video progam tadabbur al-Quran 30 hari 30 ayat sempena Ramadan bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sebagai penutup kupasan, Amirudin menyifatkan ayat tersebut sebagai peringatan yang mendalam dan bersifat kontemporari, khususnya dalam mengendalikan akaun media sosial.

“Satu peringatan yang mendalam dan kontemporari. Kalau kita lihat sekarang, komen guna akaun palsu, semua itu Allah tahu dengan terperinci.

“Jangan cuba menipu. Kita tetap akan dinilai dan diberi ganjaran yang sewajarnya pada hari pembalasan nanti,” katanya.

Program tadabbur yang memasuki tahun keempat penganjuran itu disiarkan menerusi platform media sosial Dato' Menteri Besar, Media Selangor dan TV Al-Hijrah bermula 1 Ramadan dengan kupasan Surah al-Mulk.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.