SHAH ALAM, 28 FEB: Penyesalan ahli neraka kerana gagal menggunakan akal serta enggan merendahkan ego dalam menerima kebenaran seperti digambarkan dalam ayat ke-10 Surah al-Mulk, menjadi peringatan kepada umat Islam agar tidak terus terjerumus dalam kejahilan.
Timbalan Mufti Pahang Dato’ Dr Badli Shah Alauddin berkata ayat berkenaan memberi gambaran jelas suasana dalam kalangan ahli neraka yang ditanya mengapa mereka menerima nasib sedemikian dan yang dinyatakan kebanyakan mereka hanyalah penyesalan tidak menggunakan akal.
“Dalam ayat ini, kita masih lagi diberikan gambaran suasana dalam kalangan ahli neraka. Kebanyakan mereka menyatakan penyesalan.
“Mereka menyatakan kalaulah dulu kami mendengar, berfikir. Semuanya menjurus kepada satu iaitu penyesalan yang berpunca dari satu perkara saja iaitu tidak menggunakan akal.

“Tidak mahu berfikir panjang, tidak menggunakan pendengaran dengan betul. Mendengar tapi tidak mahu menerima, tahu tapi tidak mahu berfikir,” katanya menerusi program 30 Hari 30 Ayat al-Quran bersama Dato’ Menteri Besar sempena Ramadan.
Beliau turut mengaitkan pengajaran ayat itu dengan kisah penentangan terhadap Nabi Muhammad SAW, termasuk sikap Abu Jahal yang menolak ajaran Nabi bukan kerana tidak mengenali kebenaran, tetapi akibat kepentingan kuasa dan politik.
Menurutnya, walaupun Abu Jahal mengakui Rasulullah SAW tidak pernah berbohong dan dikenali sebagai Al-Amin, kebencian serta persaingan kabilah menyebabkan kebenaran ditolak.
Terdahulu, ayat ke-10 Surah al-Mulk dibacakan Dato’ Seri Amirudin Shari dengan bimbingan Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi.

Sebagai penutup kupasan, Amirudin berkata ingatan yang penting dalam ayat itu adalah manusia perlu menggunakan akal, kejernihan hati dan fikiran serta membuang keegoan dalam menerima kebenaran.
“Kita (perlu) ada keberanian menerima kebenaran dan keberanian menolak kebatilan.
“Semoga ayat ini menjadi tauladan untuk kita muhasabah diri, adakah kita merendah diri di hadapan kebenaran atau masih terikat dengan ego dan kepentingan,” katanya.





