MBSA santuni 50 pelajar kurang mampu, sumbang baju raya RM200 seorang

3 Mac 2026, 10:40 AM
MBSA santuni 50 pelajar kurang mampu, sumbang baju raya RM200 seorang

SHAH ALAM, 3 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terus memperkukuh komitmen tanggungjawab sosial apabila menyantuni 50 pelajar menerusi Program Jom Beli Baju Raya Bersama Golongan Kurang Berkemampuan sempena Aidilfitri.

Menerusi program yang diadakan di butik Gio Fabrics, Seksyen 16 di sini hari ini, setiap penerima berusia tujuh hingga 17 tahun menerima pakaian raya bernilai RM200 seorang dan berpeluang memilih sendiri baju Melayu atau baju kurung mereka.

MBSA memaklumkan inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti, khususnya golongan kurang berkemampuan di kawasan pentadbirannya.

“Melalui pelaksanaan program ini, penerima berpeluang merasai kemeriahan persiapan Aidilfitri.

"Ia bukan sahaja memberi kegembiraan kepada mereka, malah menyemai semangat muhibah, kasih sayang dan perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato' Zabidah Safar memakaikan butang baju Melayu kepada penerima sumbangan Program Jom Beli Baju Raya Bersama Golongan Kurang Berkemampuan sempena Aidilfitiri anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Gio Fabrics, Seksyen 16, Shah Alam pada 3 Mac 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Tambah MBSA, program berkenaan turut menjadi platform merapatkan hubungan antara warga kerja PBT itu dan komuniti setempat, sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan.

Inisiatif tersebut juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya Tiada Kemiskinan (SDG1) dan Bandar dan Komuniti Mampan (SDG11), selain memupuk kesedaran tanggungjawab sosial dalam kalangan warga Shah Alam.

Dalam perkembangan sama, MBSA memaklumkan dua lagi program kebajikan akan dilaksanakan dalam masa terdekat iaitu sumbangan kepada warga emas di Sungai Kandis serta majlis berbuka puasa di Kampung Merbau Sempak, sebagai kesinambungan usaha menyantuni golongan memerlukan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.