Jerebu: MBSA batal Program Hari Mesra Pelanggan, Hari Tanpa Kenderaan pada 11 Oktober

8 Okt 2026, 9:23 AM
Jerebu: MBSA batal Program Hari Mesra Pelanggan, Hari Tanpa Kenderaan pada 11 Oktober

SHAH ALAM, 8 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membatalkan Program Hari Mesra Pelanggan yang dijadual berlangsung pada 11 Oktober ini susulan keadaan jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan orang ramai.

Program sempena sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Ke-26 itu sepatutnya diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Pengarah Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Mohd Fauzi Aziz Maamor berkata keputusan pembatalan dibuat selepas mengambil kira risiko cuaca dan jerebu terhadap peserta serta petugas.

“Keadaan jerebu menjejaskan kesihatan dan keselamatan orang awam, khususnya peserta dan petugas yang terlibat.

“MBSA mengambil berat aspek keselamatan dan kesejahteraan orang ramai serta petugas yang terlibat dalam program ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut MBSA, sebarang perkembangan lanjut berkaitan program itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan sama, MBSA turut memaklumkan bahawa Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan (SAHTK) Edisi Oktober 2026 yang dijadualkan berlangsung pada hari dan tempat yang sama turut dibatalkan kerana risiko kesihatan dan keselamatan kepada para peserta.

Terdahulu, acara Larian Kita sempena Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang dijadual berlangsung pada 10 Oktober ini turut ditangguhkan akibat jerebu.

Urus setia memaklumkan penangguhan itu dibuat selaras dengan titah Sultan Selangor bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak terpelihara.

Acara di Stadium Sultan Suleiman, Klang itu merupakan sebahagian sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor yang berlangsung dari September hingga November sempena 25 tahun pemerintahan Baginda (2001–2026).

Kategorihebahan

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.