KLANG, 2 MAC: GM Klang terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa komuniti apabila mengangkat potensi usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi penganjuran bazar Ramadan dan Rioooh Raya Bazar sempena musim perayaan tahun ini.
Sepanjang bulan Ramadan, bazar Ramadan GM Klang yang beroperasi setiap hari dari jam 3 petang hingga 8 malam menghimpunkan hampir 35 usahawan tempatan termasuk 15 usahawan OKU yang menawarkan pelbagai juadah tradisional dan hidangan berbuka puasa.
Penyertaan usahawan kecil dan sederhana (PKS) turut melengkapkan kepelbagaian pilihan, sekali gus mewujudkan suasana bazar yang meriah dan dinamik.
Selain itu, penganjuran Rioooh Raya Bazar di sekitar GM Klang terus menyemarakkan persiapan Syawal dengan penawaran pelbagai keperluan seperti pakaian raya, aksesori, kerepek dan kuih-muih, dekorasi rumah serta pelbagai produk menarik lain.
Penglibatan usahawan OKU dalam kedua-dua bazar ini mencerminkan pendekatan inklusif GM Klang dalam memastikan peluang perniagaan yang lebih luas dan mampan dapat dinikmati oleh komuniti tersebut.

Inisiatif ini selaras dengan tanggungjawab sosial korporat (CSR) GM Klang dalam menyediakan platform niaga yang strategik dan berimpak tinggi, sekali gus membantu usahawan OKU mengembangkan perniagaan serta meningkatkan daya saing mereka dalam ekosistem perniagaan tempatan.
Menurut Pengurus Kanan Komunikasi Jenama GM Klang, Norsuhaida Othman, usaha ini bukan sahaja memberi nilai ekonomi, malah membawa makna yang lebih besar kepada komuniti.
“Kami percaya setiap usahawan mempunyai potensi besar untuk berjaya apabila diberikan ruang, peluang dan sokongan yang tepat.
"Melalui bazar Ramadan dan Rioooh Raya Bazar ini, kami bukan sekadar menyediakan platform jualan, tetapi mengangkat potensi usahawan OKU agar mereka dapat berdiri seiring dan bersaing dalam arus perniagaan semasa,” katanya.
Beliau menambah konsep yang diketengahkan tahun ini turut memberikan pengalaman Ramadan yang lebih menyeluruh dan inklusif kepada pengunjung.

“Pengunjung boleh mendapatkan juadah berbuka di bazar Ramadan, kemudian membentang tikar dan berbuka puasa bersama keluarga di Dataran GM Klang dalam suasana santai dan terbuka, sebelum meneruskan membeli-belah dengan lebih selesa kerana kami kini beroperasi sehingga jam 10 malam.
"Inilah keunikan GM Klang sebagai destinasi sehenti sepanjang Ramadan dan Syawal,” tambahnya.
Dengan sambutan yang amat menggalakkan serta peningkatan kehadiran pengunjung dari hari ke hari, GM Klang optimis bahawa inisiatif ini bukan sahaja menyemarakkan kemeriahan perayaan, malah membuka lebih banyak ruang pertumbuhan dan kelestarian kepada usahawan komuniti.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti media sosial rasmi GM Klang atau berkunjung ke GM Klang bagi merasai sendiri kemeriahan Ramadan dan Syawal tahun ini.











