SHAH ALAM, 2 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memperkenalkan sistem Smart Sensor Awareness (SENSA) berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya di kawasan berisiko tinggi.
Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan, sistem berkenaan mampu mengesan kehadiran pejalan kaki secara automatik sebelum mengaktifkan amaran audio dan visual secara masa nyata kepada pemandu serta pejalan kaki.
“Ia turut dilengkapi pemantauan kamera 24 jam sebagai langkah sokongan keselamatan dan pencegahan jenayah.
“SENSA mengintegrasikan kamera pintar beranalitik AI, pembesar suara (horn speaker) serta lampu bar Diod pemancar cahaya (LED) biru sebagai isyarat visual yang jelas dan berkesan bagi meningkatkan tahap kewaspadaan pengguna jalan raya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut MBSJ, sistem itu telah dipasang di lintasan pejalan kaki hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Permai sebagai projek perintis dan akan diperluaskan secara berperingkat ke lokasi strategik lain dalam kawasan pentadbirannya.
“Pelaksanaannya yang menggunakan tenaga solar adalah selaras dengan aspirasi pembangunan Bandar Pintar serta komitmen ke arah bandar rendah karbon,” ujarnya lagi.








