SHAH ALAM, 2 MAC: Surau Al-Muttaqin, Antara Gapi, Serendah menerima sumbangan wakaf Fisabilillah bernilai RM30,000 daripada Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) bagi pemasangan sistem siar raya baharu di surau berkenaan.
Agensi itu memaklumkan, sumbangan tersebut adalah sebahagian komitmen berterusan pihaknya dalam memastikan kemudahan institusi agama berada pada tahap optimum, sekali gus menyokong kelancaran pelaksanaan aktiviti ibadah serta program pengimarahan surau.
"Pemasangan sistem siar raya baharu ini dijangka memberi impak signifikan terhadap keselesaan jemaah serta mempertingkat keberkesanan penyampaian kuliah, tazkirah dan pengumuman rasmi kepada komuniti setempat," menurut PWS dalam kenyataan.
Terdahulu cek cura diserahkan oleh Pegawai Unit Kutipan dan Agihan PWS Muhammad Suffian Assauri Omar kepada pihak pengurusan surau dalam satu majlis ringkas yang berlangsung pada 28 Februari lalu.
Dalam kenyataan sama, PWS turut merakamkan penghargaan kepada para pewakaf yang terus menyokong agenda pembangunan wakaf di Selangor.
"Semoga setiap sumbangan menjadi amal jariah berpanjangan yang memberi manfaat kepada generasi kini serta akan datang," tambah agensi itu.








