SHAH ALAM, 2 MAC: Polis menumpaskan sindiket curi kabel dengan penahanan sembilan individu termasuk tiga wanita yang dipercayai dalang utama dalam Op Kabel Viral, 23 dan 26 Februari lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata enam lelaki dan tiga wanita berusia 19 hingga 44 tahun diberkas dalam serbuan berasingan di Dengkil, Sungai Petani dan Ipoh.
“Siasatan mendapati kebanyakan suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes curi, samun dan dadah, manakala dua daripadanya masih dikehendaki polis,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata ujian saringan awal air kencing mendapati tujuh suspek positif dadah jenis amfetamin, metamfetamin dan THC.
Menurutnya, sindiket yang aktif sejak tahun lalu itu menggunakan taktik penyamaran dengan memakai ves dan baju berlogo Telekom Malaysia (TM), selain topi serta lampu keselamatan bagi mengaburi pihak berkuasa.
Polis turut menyita sebuah BMW, Nissan Navara dan lori Mitsubishi Canter, selain 12 batang kabel dan 20 unit kulit kabel dipercayai milik TM serta peralatan pemotong kabel dan besi pembuka penutup lubang penyelenggaraan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan 414 Kanun Keseksaan dan semua suspek dijangka didakwa esok.
Dalam perkembangan berasingan, Shazeli berkata empat lelaki yang ditahan berhubung kes kecurian tabung surau di Seksyen 7 turut akan didakwa esok mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Kes itu sebelum ini mendapat perhatian Sultan Selangor yang menzahirkan kebimbangan terhadap jenayah membabitkan rumah ibadat dan menggesa tindakan tegas diambil.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan jawatankuasa masjid dan surau memastikan sistem kamera litar tertutup (CCTV) berfungsi dengan baik bagi mencegah kejadian sama berulang.











