Padah operasi tanpa lesen, dua premis industri di Telok Gong terima empat kompaun

2 Mac 2026, 5:35 AM
Padah operasi tanpa lesen, dua premis industri di Telok Gong terima empat kompaun

SHAH ALAM, 2 MAC: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengeluarkan empat kompaun terhadap dua premis industri yang beroperasi tanpa lesen yang sah dalam operasi penguatkuasaan di Telok Gong, Klang baru-baru ini.

Menurut MBDK, tiga kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil 3, manakala satu lagi di bawah Undang-Undang Kecil 17 dengan kedua-duanya merujuk kepada Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPK) 2007.

"Dalam operasi tersebut, empat premis diperiksa yang menjalankan aktiviti memproses dan menyimpan sekerap plastik, selain bengkel membaiki dan stor kenderaan berat.

"Hasil pemeriksaan mendapati dua premis mempunyai lesen industri dan iklan yang sah, manakala dua premis lagi beroperasi tanpa lesen sah," menurut hantaran MBDK di Facebook.

Pihak berkuasa tempatan itu menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan semua premis industri mematuhi peraturan.

Apa reaksi anda?