MBDK keluar 771 kompaun terhadap peniaga ingkar syarat lesen

13 Okt 2026, 12:00 AM
MBDK keluar 771 kompaun terhadap peniaga ingkar syarat lesen

SHAH ALAM, 13 OKT: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengeluarkan 771 kompaun bernilai kira-kira RM771,000 terhadap peniaga yang melanggar syarat pelesenan, selain melaksanakan 105 tindakan sitaan dan mengeluarkan 20 notis penutupan premis dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Pelesenan MBDK, Mohd Izzat Mokhtar berkata peningkatan angka penguatkuasaan berbanding tahun sebelumnya didorong operasi yang lebih kerap dan bersasar, bukannya semestinya menunjukkan pertambahan kesalahan.

Pengarah Pelesenan MBDK, Mohd Izzat Mokhtar ketika ditemu bual Media Selangor di Ibu Pejabat MBDK, Klang pada 7 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“Peningkatan angka tahun ini disebabkan operasi penguatkuasaan bersama agensi lain yang dijalankan dengan lebih kerap.

“Sebelum ini, operasi mungkin tertumpu kepada sektor tertentu. Apabila penguatkuasaan dilaksanakan secara umum, angka yang direkodkan mungkin tidak begitu ketara.

“Namun, mengambil kira situasi semasa di peringkat negara dan negeri, tumpuan kita kini beralih kepada premis yang dikendalikan warga asing. Apabila penguatkuasaan dilakukan secara lebih bersasar, kita melihat angka yang lebih tinggi,” katanya kepada Media Selangor dalam temu bual baru-baru ini.

Menurutnya, daripada keseluruhan 771 kompaun yang dikeluarkan sehingga September lalu, sebanyak 643 direkodkan dalam tempoh Januari hingga Jun, diikuti 45 pada Ogos dan 83 pada September.

Setiap kompaun bagi kesalahan pelesenan itu bernilai RM1,000, menjadikan jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan dianggarkan RM771,000.

Pegawai MBDK menjalankan pemeriksaan dan tindakan sitaan terhadap premis perniagaan tanpa lesen yang dikendalikan warga asing di sekitar Klang. Foto FACEBOOK MBDK

MBDK turut melaksanakan 105 tindakan sitaan membabitkan barangan dan peralatan milik pemegang lesen yang gagal mematuhi syarat ditetapkan.

Selain itu, sebanyak 20 notis berkaitan penutupan premis dan niat membatalkan lesen dikeluarkan, terutama terhadap perniagaan yang didapati melanggar syarat pengendalian premis.

Mohd Izzat berkata pekerja asing hanya dibenarkan bertugas sebagai pembantu premis dan tidak dibenarkan bekerja di kaunter hadapan atau sebagai jurujual, selaras dengan syarat pelesenan yang ditetapkan.

“Jika operasi penguatkuasaan mendapati sesebuah premis dikendalikan sepenuhnya oleh warga asing tanpa kehadiran pemegang lesen tempatan, kita akan mengeluarkan notis niat membatalkan lesen.

“Pemegang lesen diberi tempoh tujuh hari untuk mengemukakan penjelasan. Jika tiada maklum balas diterima atau penjelasan yang diberikan tidak memuaskan, lesen akan dibatalkan,” katanya.

Penguat kuasa MBDK bersama pegawai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang menjalankan pemeriksaan terhadap premis perniagaan serbaneka di Jalan Pekan Baru, off Jalan Meru. Tiga premis dikenakan Notis Niat Batal Lesen manakala produk makanan yang tidak mematuhi keperluan pelabelan turut dirampas dan disita. Foto Facebook MBDK

Dalam tempoh sama, MBDK memeriksa 424 premis perniagaan tanpa lesen, dengan 332 pemeriksaan direkodkan dari Januari hingga Jun, diikuti 57 pada Ogos dan 35 pada September.

Antara kawasan yang menjadi tumpuan pemantauan susulan aduan orang ramai ialah kawasan perindustrian di Meru dan Kapar, Bandar Sultan Suleiman, pangsapuri Sungai Puloh, Klang Utama serta pusat bandar Klang Utara.

Di bahagian selatan Klang pula, operasi tertumpu di Pulau Indah, Telok Gong, Bandar Sentosa, Taman Seri Andalas dan Bukit Tinggi.

Bagi mengelakkan premis yang pernah diserbu atau diarahkan tutup daripada kembali beroperasi tanpa kebenaran, Mohd Izzat berkata MBDK menjalankan pemeriksaan berkala dan operasi bersepadu bersama agensi lain, termasuk Jabatan Alam Sekitar serta Lembaga Urus Air Selangor.

Tindakan susulan turut merangkumi sitaan barangan dan permohonan pemotongan bekalan utiliti terhadap pengusaha yang berulang kali melakukan kesalahan.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.