Kes buang sampah haram di Klang turun, 909 kompaun dikeluarkan

13 Okt 2026, 4:00 AM
Kes buang sampah haram di Klang turun, 909 kompaun dikeluarkan

SHAH ALAM, 13 OKT: Sebanyak 103 kes pembuangan sampah haram dikesan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dari Januari hingga September tahun ini, menurun berbanding 109 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

MBDK memaklumkan penggunaan CCTV membolehkan pihaknya mengesan kegiatan itu secara lebih sistematik, termasuk mengenal pasti kenderaan dan individu yang disyaki terlibat.

Sehingga 30 September, sebanyak 909 kompaun dikeluarkan menerusi tindakan penguatkuasaan mengikut Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap 2007, dengan 576 daripadanya telah dibayar.

Bagi September sahaja, sebanyak 4,128 rakaman CCTV direkodkan dan lapan kes pembuangan sampah haram dikenal pasti.

“Daripada jumlah tersebut, dua kompaun dikeluarkan, manakala enam kes lagi masih dalam proses pencarian maklumat melalui kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” menurut kenyataan MBDK.

Dalam tempoh sama, Unit CCTV MBDK turut menerima 24 permohonan rakaman daripada PDRM bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.

MBDK menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan pembuangan sampah haram.

“Tindakan tegas akan terus dilaksanakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan pembuangan sampah haram,” menurut kenyataan itu.

MBDK akan terus memperkukuh pemantauan CCTV dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung kegiatan berkenaan di sekitar Klang.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.