Konflik Timur Tengah: Wisma Putra pantau rapi keselamatan rakyat Malaysia

2 Mac 2026, 4:28 AM
Konflik Timur Tengah: Wisma Putra pantau rapi keselamatan rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Kementerian Luar (Wisma Putra) memantau rapi keselamatan 29,112 rakyat Malaysia di beberapa negara terjejas susulan ketegangan berpunca daripada tindakan Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang melancarkan serangan terhadap Iran pada Sabtu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini termasuklah usaha untuk membawa rakyat Malaysia pulang ke tanah air.

Bagaimanapun, beliau berkata usaha membawa pulang tidak dapat dilaksanakan ketika ini memandangkan banyak ruang udara di negara Timur Tengah ditutup, kecuali melibatkan penerbangan dari Arab Saudi.

“Sebagai kerajaan kita bertanggungjawab untuk memelihara dan menjamin keselamatan rakyat Malaysia supaya keberadaan mereka di sana (negara terjejas) dapat dijamin keselamatannya,” kata Perdana Menteri ketika membawa usul mengutuk serangan biadap dan ganas Israel dengan sokongan AS ke atas Iran di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam ucapannya, Anwar memaklumkan kebanyakan rakyat Malaysia yang berada di negara-negara Timur Tengah ialah golongan bekerja yang telah menetap di sana, dengan sebahagian lagi adalah pelancong dan jemaah umrah.

“Kebanyakan rakyat kita yang berada di negara-negara Timur Tengah itu majoritinya berada (menetap) di Qatar dan UAE (Emiriah Arab Bersatu), Arab Saudi dan Jordan,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengulangi pendirian Malaysia mengutuk keras serangan rejim Zionis Israel dan AS yang disifatkan sebagai tindakan biadab serta melanggar prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perdana Menteri berkata pencerobohan terhadap kedaulatan Iran itu merupakan pelanggaran nyata ke atas tatanan hukum undang-undang dunia dan boleh mengheret rantau Asia Barat ke kancah peperangan yang lebih luas.

“Tindakan ketenteraan berterusan itu berisiko menyebabkan eskalasi besar yang menggugat kestabilan serantau, terutama di negara Teluk. Malaysia menyeru supaya gencatan senjata tanpa syarat berlaku serta-merta dan kembali ke meja rundingan secara konstruktif,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata Israel terus menjadi satu-satunya negara yang konsisten melanggar ketetapan antarabangsa merangkumi siri serangan di Lubnan, Iraq, Syria serta pembantaian berterusan terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Justeru, beliau berkata Malaysia tidak mempunyai pilihan selain menyatakan pendirian tegas membantah sebarang tindakan yang bertentangan dengan tatanan dunia demi mempertahankan prinsip kemerdekaan sesebuah negara merdeka.

Selain itu, Perdana Menteri turut menekankan keperluan mendesak bagi negara-negara Teluk untuk kembali bersatu dan mengadakan rundingan pertahanan bagi mempertahankan kebebasan serta kemerdekaan rantau tersebut.

Beliau memberi amaran bahawa tanpa kerjasama konkrit, siri serangan ke atas negara-negara berdaulat akan terus berlaku mengikut giliran, sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh barisan kepimpinan Israel.

Katanya amaran terbaharu diberikan oleh rejim itu kepada pemerintah Turkiye membuktikan bahawa tiada negara di rantau tersebut yang terlepas daripada kemungkinan menjadi sasaran serangan Israel pada masa hadapan.

AS dan Israel melancarkan siri serangan terhadap sasaran di Iran pada Sabtu, termasuk Tehran, dengan laporan kemalangan orang awam.

Iran telah melaksanakan serangan balas misil ke wilayah Israel serta kemudahan tentera AS di Timur Tengah.

Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei dilaporkan terbunuh susulan serangan pada pagi Sabtu itu, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Apa reaksi anda?