10,000 warga Myanmar dihantar pulang ke negara asal sejak Januari

6 Okt 2026, 4:06 AM
10,000 warga Myanmar dihantar pulang ke negara asal sejak Januari
10,000 warga Myanmar dihantar pulang ke negara asal sejak Januari
10,000 warga Myanmar dihantar pulang ke negara asal sejak Januari

SHAH ALAM, 6 OKT: Seramai 10,000 warga Myanmar telah dihantar pulang ke negara asal sejak Januari menerusi rundingan antara Kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa Myanmar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sebahagian daripada mereka dibawa pulang menggunakan pesawat atas inisiatif kerajaan Myanmar, manakala 1,400 lagi dihantar menerusi kapal tentera laut negara itu baru-baru ini.

“Keseluruhannya sejak bulan Januari, 10,000 yang telah dibawa balik, yang lain itu atas ikhtiar kerajaan Myanmar sendiri melalui pesawat, dan yang terakhir dengan kapal Tentera Laut Myanmar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat, pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata penghantaran pulang dibuat selepas individu terbabit memberikan persetujuan dan menandatangani dokumen berkaitan di Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menurutnya, kerajaan turut memastikan aspek keselesaan dan hak asasi mereka terpelihara serta penghantaran dilakukan tanpa paksaan.

Menjawab sama ada 1,400 warga Myanmar yang dihantar pulang baru-baru ini termasuk pelarian Rohingya, beliau berkata setakat ini tiada etnik berkenaan direkodkan dalam penghantaran itu.

“Dalam rekod yang kita kesan setakat ini, belum ada rakyat Rohingya yang dibawa pulang. Tapi ini masih lagi dalam perbincangan,” katanya.

Anwar berkata perjanjian dengan Myanmar meliputi penghantaran pulang rakyat negara itu tanpa mengira kumpulan etnik, termasuk Arakan, Karen, Shan dan Rohingya.

Katanya, isu penghantaran pulang Rohingya akan terus dibincangkan dan dibangkitkan dalam pertemuannya dengan Presiden Myanmar Min Aung Hlaing dalam tempoh terdekat.

“Saya akan juga bangkitkan isu ini supaya dapat ditangani dengan sebaik mungkin,” katanya.

Terdahulu, Suhaizan meminta penjelasan sama ada 1,400 warga Myanmar yang dihantar pulang baru-baru ini termasuk pelarian Rohingya serta perancangan kerajaan sekiranya rundingan membawa pulang etnik berkenaan tidak berhasil.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.