SELAYANG, 16 MAC: Cadangan pelaksanaan kaedah bekerja dari rumah (BDR) dalam kalangan penjawat awam perlu diteliti secara menyeluruh bagi memastikan produktiviti serta kelancaran operasi perkhidmatan awam tidak terjejas.
EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata sebarang pelaksanaan BDR perlu diperhalusi di setiap peringkat organisasi, melibatkan pihak pengurusan, pegawai atasan serta kakitangan sokongan.
Menurutnya, perkara itu juga perlu mengambil kira situasi global semasa termasuk perkembangan konflik di Timur Tengah yang berpotensi memberi kesan kepada ekonomi dunia.
“Jika konflik tersebut berterusan dan harga minyak terus meningkat, ia boleh memberi cabaran yang hampir serupa dengan situasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID-19.
“Oleh itu, sebarang cadangan untuk melaksanakan WFH perlu ditangani dengan cermat supaya operasi jabatan dapat berjalan lancar dan produktiviti penjawat awam dapat dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Jualan Agro MADANI (JAM) anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang, hari ini.
Menurut Anfaal, walaupun beberapa negara seperti Thailand dan Vietnam telah mengemukakan cadangan melaksanakan kaedah BDR, kerajaan perlu menilai dengan teliti implikasinya terhadap perkhidmatan awam.
Beliau menegaskan aspek keharmonian di semua peringkat jabatan juga perlu dijaga supaya sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.
“Di Selangor, jika BDR dilaksanakan sekalipun, ia mungkin tidak berlaku secara serentak di semua jabatan, sebaliknya dilaksanakan secara bersasar dan berperingkat seperti yang dilakukan ketika PKP sebelum ini,” katanya.
Pada Jumaat, Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil berkata cadangan pelaksanaan kerja dari rumah bagi sektor awam akan diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet, Selasa ini.
Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Wan Abdul Aziz meneliti cadangan itu bagi memastikan beberapa perkara dapat diselaraskan.
Sementara itu, pada Rabu lalu, kerajaan sementara Thailand mengarahkan agensi persekutuan dan perusahaan milik negara yang bersesuaian melaksanakan dasar BDR sebagai langkah menjimatkan tenaga di tengah ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
Pada Selasa lalu pula, kementerian perdagangan Vietnam menggesa perusahaan tempatan menggalakkan pekerja bekerja dari rumah sebagai usaha mengurangkan penggunaan bahan api susulan gangguan bekalan dan lonjakan harga akibat konflik Iran.









