SHAH ALAM, 1 APRIL: Kerajaan Negeri akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi memperkukuh kesiapsiagaan Selangor dalam menghadapi ketidaktentuan global susulan konflik Asia Barat, kata Dato' Menteri Besar.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata langkah tersebut menjadi permulaan kepada rangka tindakan menyeluruh di peringkat negeri bagi menyokong usaha Kerajaan Persekutuan dalam menangani kesan krisis global.
Menurutnya, konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran yang masih berterusan memberi implikasi besar kepada ekonomi, sekali gus memerlukan persediaan awal yang rapi.
"Dengan perang melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran yang masih berterusan, saya telah memanggil Sidang Meja Bulat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pagi ini bagi membincangkan krisis Asia Barat serta implikasinya terhadap ekonomi dan rakyat Selangor.

"Sidang khas ini menghimpunkan pakar ekonomi dan geopolitik bagi berkongsi analisa serta unjuran awal berhubung kesan konflik semasa.
"Sebagai penyumbang utama sebanyak 26.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, sebarang implikasi terhadap Selangor pasti memberi kesan langsung kepada keseluruhan ekonomi Malaysia," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Amirudin berkata, pengalaman lalu seperti pandemik Covid-19, bencana banjir besar Disember 2021 serta insiden letupan paip gas menjadi pengajaran penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan negeri berasaskan data dan maklumat tepat.
"Turut hadir adalah ketua beberapa anak syarikat milik Kerajaan Negeri yang terlibat secara terus dengan krisis yang berlaku.
"Dalam setiap cabaran, Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor sentiasa berganding bahu untuk bangkit dan pulih bersama," tambah beliau.

Beliau menegaskan, Kerajaan Negeri akan memastikan setiap persiapan dibuat secara menyeluruh berlandaskan fakta dan maklumat terkini bagi membantu rakyat serta industri di Selangor.
"Setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan panel yang berkongsi pandangan dan kepakaran iaitu Datuk Dr Zunika Mohamed, Tan Sri Muhammad Ibrahim, Dr Nungsari Ahmad Radhi, Prof Dr Phar Kim Beng, Tuan Akbar Md Thayoob dan Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali," ujarnya.
Amirudin berkata, beliau juga akan menyertai Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri bersama Perdana Menteri esok bagi meneliti pelan serta perancangan di peringkat Persekutuan.
"Susulan itu, satu mesyuarat khas di peringkat Kerajaan Negeri akan diadakan Jumaat ini bagi menyelaras kaedah terbaik dalam membantu rakyat secara menyeluruh, khususnya golongan rentan di samping memastikan sokongan berkesan kepada sektor industri.
"Penubuhan pasukan petugas khas serta pelaksanaan mesyuarat berkala akan memastikan setiap langkah yang dirangka dapat dilaksanakan secara tersusun, responsif dan berkesan dalam mendepani cabaran ekonomi global," katanya.










