MPAJ naik taraf bangunan Ukay Heights jadi pusat perlindungan kucing, siap Julai ini

2 Mac 2026, 2:46 AM
MPAJ naik taraf bangunan Ukay Heights jadi pusat perlindungan kucing, siap Julai ini

SHAH ALAM, 2 MAC: Sebuah bekas bangunan milik Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Ukay Heights kini menjalani kerja naik taraf untuk dijadikan pusat perlindungan kucing terbiar dan dijangka mula beroperasi pada Julai ini.

Premis berkenaan sebelum ini digunakan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum dikembalikan kepada pihak majlis.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata sebanyak RM400,000 diperuntukkan bagi melaksanakan projek tersebut yang telah bermula sejak bulan lalu.

“Bangunan ini sebelum ini digunakan oleh sebuah NGO yang telah berpindah dan memulangkan semula premis kepada MPAJ. Projek pusat perlindungan kucing ini melibatkan pembinaan kandang serta kemudahan rawatan bagi haiwan berkenaan,” katanya seperti dilaporkan akhbar The Star.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Ts Hasrolnizam Shaari dalam mesyuarat penuh pihak berkuasa tempatan itu di Menara MPAJ pada 20 November 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Menurut beliau, kemudahan yang dinaik taraf itu mampu menempatkan sehingga 50 ekor kucing pada satu-satu masa.

MPAJ juga akan bekerjasama dengan kumpulan kebajikan haiwan bagi memastikan kucing yang diselamatkan menerima rawatan perubatan sewajarnya serta pemakanan mencukupi.

“Kami akan mempromosikan pusat perlindungan ini sebaik sahaja ia mula beroperasi bagi menggalakkan orang ramai mengambil kucing angkat dan memberi haiwan ini kediaman yang kekal,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, hampir 100 ekor tikus berjaya ditangkap menerusi kempen kawalan tikus selama seminggu di Pandan Jaya, awal bulan ini.

Kempen yang dilancarkan di Pasar MPAJ Pandan Jaya itu menawarkan bayaran RM3 bagi setiap tikus yang diserahkan, sama ada hidup atau mati.

Operasi sama turut dipertimbangkan di beberapa kawasan perumahan dan komersial berpenduduk padat termasuk Taman Melawati, Taman Keramat dan Pekan Ampang.

Tahun lalu, sebanyak 59 lokasi di sekitar Ampang Jaya dikenal pasti untuk pelaksanaan usaha kawalan tikus, dengan kempen di Pekan Ampang sahaja merekodkan pelupusan 101 ekor tikus.

Apa reaksi anda?