SHAH ALAM, 2 MAC: Seramai 56 pelajar diraikan menerusi Anugerah Pencapaian Kokurikulum sempena Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat DUN Banting di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jenjarom, semalam.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting, V. Papparaidu berkata anugerah itu membabitkan 45 murid SJKC Jenjarom serta 11 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom dan Methodist sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan serta komitmen mereka dalam bidang kokurikulum.
“Saya berpeluang menunaikan janji pilihan raya lalu dengan menyampaikan penghargaan kepada pelajar yang cemerlang sebagai tanda pengiktirafan atas usaha gigih mereka,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau berkata sambutan berkenaan turut menghimpunkan warga Jenjarom daripada pelbagai kaum dan lapisan usia, sekali gus mencerminkan keharmonian serta perpaduan kukuh masyarakat setempat.
Majlis dimulakan dengan persembahan tarian singa dan 24 paluan gendang oleh murid SJKC Jenjarom sebelum diteruskan dengan ucapan Tahun Baharu Cina oleh Papparaidu serta beberapa Ahli Majlis Perbandaran dan ketua kampung yang turut menyampaikan doa kesejahteraan.
Sambutan itu turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah menawarkan hadiah utama televisyen 55 inci, mesin basuh serta pelbagai barangan elektrik.
Tetamu kehormat juga turun menyantuni masyarakat yang sedang menjamu selera dan mengagihkan angpau dalam suasana mesra rakyat.
Acara bertambah semarak dengan persembahan YanYu Music Studio bertemakan ‘Semangat Naga dan Kuda’, diikuti tarian oleh Evo Studio seperti ‘Qi Ma Shang Lai’.
Dalam kenyataan sama, Papparaidu mengajak masyarakat menjadikan Tahun Baharu Cina sebagai titik permulaan untuk melangkah lebih jauh dengan azam bekerja lebih keras dan berdisiplin agar setiap usaha membuahkan hasil.










