Henti segera serangan Israel-AS ke atas Iran, utamakan diplomasi: PM

1 Mac 2026, 1:11 AM
Henti segera serangan Israel-AS ke atas Iran, utamakan diplomasi: PM

SHAH ALAM, 1 MAC: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa penghentian segera dan tanpa syarat terhadap serangan Israel ke atas Iran, termasuk operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang menyusul selepas itu.

Beliau berkata, perkembangan tersebut membawa Asia Barat ke ambang bencana dan berisiko mencetuskan konflik lebih besar yang sukar dikawal.

“Serangan Israel ke atas Iran, serta tindakan ketenteraan Amerika Syarikat yang menyusul, membawa Asia Barat ke ambang bencana.

"Tindakan Israel memulakan serangan tersebut merupakan cubaan keji untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung dan menyeret negara lain ke dalam konflik yang mungkin mustahil dikawal" katanya dalam hantaran di Facebook.

Sehubungan itu, beliau menggesa AS dan Iran supaya memilih laluan diplomasi bagi meredakan ketegangan berbanding meneruskan tindakan ketenteraan.

Perdana Menteri turut menyeru komuniti antarabangsa supaya bertindak segera dan tidak mengamalkan dwi standard dalam menangani krisis berkenaan.

Pada masa sama, Anwar menzahirkan kebimbangan terhadap keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Iran dan negara lain di rantau tersebut.

Beliau memaklumkan akan berhubung dengan rakan serantau bagi membincangkan langkah seterusnya berkaitan keselamatan rakyat Malaysia.