SHAH ALAM, 4 NOV: Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Keempat berjumlah RM1.1 bilion mula disalurkan hari ini, memberi manfaat kepada lebih lima juta rakyat sempena sambutan Deepavali.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan berkenaan turut memanfaatkan 630,000 penerima kaum India.
Menurut beliau, Kerajaan MADANI meningkatkan jumlah peruntukan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM15 bilion tahun ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata jumlah itu dijangka meningkat kepada RM16 bilion tahun depan berbanding RM8 bilion pada 2022 dan RM6 bilion pada 2018.
"Kerajaan MADANI melipatgandakan peruntukan untuk bantuan tunai STR dan SARA kepada RM15 bilion tahun ini dan dijangka meningkat kepada RM16 bilion tahun depan, berbanding hanya RM8 bilion pada 2022 dan RM6 bilion (2018).
"Dalam menaikkan lantai sebagai tonggak Ekonomi MADANI, kerajaan komited memperkukuh kesejahteraan untuk semua, tanpa mengira bangsa," katanya selepas meninjau Mega Bazar Deepavali di Kuala Lumpur hari ini, lapor Berita Harian.
Sementara itu, Anwar memaklumkan jumlah bantuan STR dan SARA yang disalurkan setakat ini sudah mencecah RM12 bilion.
Daripada jumlah berkenaan, pembayaran STR Fasa Pertama hingga Ketiga merekodkan nilai RM3.6 bilion.








