BANGI, 28 FEB: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni pengunjung dan peniaga ketika program Singgah Bazar serta Agihan Bubur Lambuk Rumpun Selangor di Bazar Ramadan Seksyen 3, di sini, hari ini.
Beliau turut mengagihkan kira-kira 1,000 pek bubur lambuk kepada orang ramai sebagai usaha menyemarakkan Ramadan selain berkongsi rezeki dengan komuniti setempat.
Agihan berkenaan diselaras Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang turut mengedarkan kurma kepada pengunjung sebagai simbolik mengimarahkan bulan mulia melalui amalan bersedekah.
Kehadiran Amirudin menceriakan suasana bazar apabila pengunjung mengambil peluang bersalaman dan merakam gambar kenangan.
Program Singgah Bazar menjadi antara inisiatif tahunan Kerajaan Negeri bagi mendekati rakyat secara langsung selain menghargai peranan peniaga dalam menyediakan juadah berbuka puasa.
Bazar Ramadan Seksyen 3 Bandar Baru Bangi terus menjadi tumpuan penduduk sekitar dengan pelbagai pilihan makanan tradisional dan moden, sekali gus mencerminkan kemeriahan Ramadan yang menyatukan masyarakat pelbagai lapisan.







