RM100 juta tangani banjir Lembah Klang perkukuh usaha Selangor lindungi rakyat

10 Okt 2026, 1:00 AM
RM100 juta tangani banjir Lembah Klang perkukuh usaha Selangor lindungi rakyat

SHAH ALAM, 10 OKT: Peruntukan RM100 juta untuk menangani banjir kilat di Lembah Klang menerusi Belanjawan 2027 akan menyokong usaha Kerajaan Negeri memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan penduduk.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembinaan Kompleks Sekolah Bandar Serenia di Sepang yang turut diumumkan dapat meningkatkan keselesaan dan akses pendidikan rakyat Selangor.

“Saya menyambut baik peruntukan RM100 juta bagi menangani banjir kilat di Lembah Klang serta pembinaan Kompleks Sekolah Bandar Serenia di Sepang.

“Inisiatif ini menyokong usaha Kerajaan Negeri meningkatkan keselamatan, keselesaan dan akses pendidikan rakyat Selangor,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Amirudin berkata Belanjawan 2027 turut memberi perhatian kepada pertumbuhan ekonomi Selangor menerusi peruntukan RM1.25 bilion bagi pembangunan pusat data dan aset logistik di Elmina.

Menurutnya, kerjasama Khazanah Nasional dengan Kerajaan Negeri dalam industri semikonduktor juga berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Beliau yakin pembangunan itu, jika disokong latihan kemahiran serta penguasaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), mampu meningkatkan pendapatan dan daya saing rakyat Selangor.

“Dengan latihan kemahiran dan penguasaan teknologi digital serta AI, inisiatif ini saya yakin dapat meningkatkan pendapatan dan daya saing rakyat Selangor,” katanya.

Amirudin yang menghadiri pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat semalam turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas inisiatif yang memberi manfaat kepada Selangor.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata akan mengambil bahagian secara aktif dalam perbahasan belanjawan bagi membawa suara dan keperluan rakyat.

Amirudin berharap semua peruntukan diumumkan dapat dilaksanakan secara cekap, telus dan bersasar supaya manfaatnya benar-benar dirasai rakyat.

Belanjawan MADANI 2027 berjumlah RM510 bilion bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ dibentangkan Anwar di Dewan Rakyat semalam bagi memperkukuh ekonomi negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.