SHAH ALAM, 11 OKT: Karnival Kerjaya Jobcare Istimewa Selangor 2026 membuka peluang kepada golongan rentan untuk kembali bekerja, berdikari dan membina kehidupan menerusi pekerjaan yang bersesuaian dengan keperluan mereka.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata golongan tersebut memerlukan sokongan khusus untuk kembali memasuki pasaran pekerjaan, sekali gus membolehkan potensi mereka dimanfaatkan dalam pembangunan ekonomi negeri.
Jelas beliau, golongan rentan bukan sahaja merangkumi orang kurang upaya (OKU) dan warga emas, malah bekas banduan, wanita yang kembali bekerja selepas cuti bersalin, belia, Orang Asli serta veteran.
“Apabila menyentuh tentang mereka yang memerlukan sokongan, terutamanya OKU, warga emas atau mereka yang baharu selesai daripada proses tahanan atau bekas banduan, kita memerlukan sokongan yang lain atau keprihatinan yang lebih.
“Sebab itu Jobcare Istimewa ini diwujudkan berbanding kebiasaannya kita menganjurkan Jobcare atau karnival kerjaya,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Kerjaya Jobcare Istimewa Selangor 2026 di Pusat Konvensyen MBSA di sini hari ini.
Amirudin berkata intervensi kerajaan penting bagi memastikan pasaran pekerjaan yang berasaskan persaingan bebas turut menyediakan ruang dan sokongan kepada golongan yang berdepan halangan untuk mendapatkan pekerjaan.
“Keperluan setiap kelompok berbeza, termasuk penyediaan persekitaran kerja yang mudah diakses bagi OKU serta peluang kepada bekas banduan untuk kembali menyesuaikan diri dengan masyarakat.
“Kita juga ingin pastikan mereka diperkasakan, mereka diperhebatkan, mereka mampu keluar daripada rintangan dan cabaran serta mampu untuk hidup dengan sendiri dan bangga. Kita juga mahu mereka kembali menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata usaha tersebut selari dengan misi Modal Insan Produktif dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2), yang menekankan pembangunan keupayaan dan produktiviti merentas semua kelompok masyarakat.
Dalam perkembangan lain, Amirudin turut merakamkan penghargaan kepada 40 majikan yang menyertai program tersebut dan membuka peluang pekerjaan kepada golongan yang memerlukan sokongan.
Beliau berkata kesediaan majikan menyediakan peluang kepada golongan berkenaan wajar dicontohi syarikat lain, meski langkah itu mungkin memerlukan penyesuaian dari segi kos operasi dan persekitaran kerja.
“Penglibatan sektor swasta penting dalam membentuk masyarakat penyayang yang memberi peluang lebih seimbang kepada setiap individu, termasuk mereka yang berdepan kekangan fizikal, sosial atau faktor usia,” katanya.
Karnival Kerjaya Jobcare Istimewa Selangor 2026 yang diadakan hari ini bermula jam 8 pagi hingga 5 petang di Pusat Konvensyen MBSA menawarkan hampir 4,000 kekosongan jawatan dengan menumpukan kepada golongan rentan termasuk masyarakat umum.
Antara majikan yang menyertai adalah Prasarana Malaysia Sdn Bhd; Top Glove Corporation Berhad; AEON Co (M) Berhad; KL-Kepong Oleomas Sdn Bhd, 99SpeedMart dan Wesports Malaysia Sdn Bhd.









