2,233 ketua isi rumah berjaya keluar status miskin sehingga Januari lalu

27 Feb 2026, 3:13 PM
2,233 ketua isi rumah berjaya keluar status miskin sehingga Januari lalu

SHAH ALAM, 27 FEB: Seramai 2,233 ketua isi rumah (KIR) sudah keluar daripada status miskin setakat ini iaitu penurunan 38.35 peratus sekali gus menghampiri sasaran sifar miskin di Selangor menjelang 30 Jun ini.

EXCO Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata berdasarkan data Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2024 pada 15 Januari lalu, seramai 5,822 KIR dikenal pasti miskin namun hasil intervensi berfokus serta kerjasama pelbagai pihak jumlah tersebut berjaya dikurangkan kepada 3,589 KIR setakat 20 Februari lalu.

“Daripada 3,589 KIR yang masih miskin, 2,102 merupakan golongan produktif berusia 15 hingga 64 tahun, termasuk 1,422 yang telah bekerja tetapi belum melepasi PGK manakala 589 lagi tidak bekerja dan tiada kemahiran serta 91 tidak bekerja namun berkemahiran.

“Baki 1,487 KIR terdiri daripada golongan tidak produktif termasuk warga emas, manakala 398 KIR adalah berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) yang memerlukan intervensi khusus dan bersasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Papparaidu berkata bagi memastikan keberkesanan, Kerajaan Negeri melaksanakan Program Outreach Memangkas Kemiskinan dengan pendekatan turun padang, kaunter bantuan bersepadu, semakan dan pendaftaran sistem Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih), kursus kemahiran serta inisiatif jualan Rahmah.

Beliau berkata bagi mencapai hasrat sifar miskin Kerajaan Negeri menggunakan pendekatan bersepadu melibatkan pelbagai agensi pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah dan tanah (PDT) serta wakil rakyat.

“Kerajaan Negeri turut melaksanakan Inisiatif Kesejahteraan MADANI Fasa 1 melibatkan peruntukan RM2.705 juta, disokong dengan tambahan RM5 juta melalui BINGKAS Tambahan (BINGKISAN),” katanya.

- BERNAMA