ad

Negeri perhebat kempen daftar eKasih, sasar penduduk luar bandar

7 Okt 2025, 7:21 AM
Negeri perhebat kempen daftar eKasih, sasar penduduk luar bandar
Negeri perhebat kempen daftar eKasih, sasar penduduk luar bandar
Negeri perhebat kempen daftar eKasih, sasar penduduk luar bandar

SHAH ALAM, 7 OKT: Kerajaan Negeri memperhebat kempen pendaftaran bantuan eKasih bermula hari ini, susulan masih ramai golongan miskin tegar yang enggan atau belum mendaftar.

EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata setakat 19 Ogos lalu, hanya 753 Ketua Isi Rumah (KIR) berdaftar dengan eKasih berbanding jumlah 14,931 isi rumah yang berstatus miskin di Selangor.

“Saya mensasarkan menjelang Disember ini ada pertambahan (pendaftaran eKasih). Kita mungkin ada rancangan baharu yang kita akan perkenalkan untuk bantu pendaftaran.

“Saya rasa mungkin dalam 10 ke 20 peratus lagi pertambahan. Kita akan fokus kawasan di luar bandar kerana ramai di bandar, walaupun miskin bandar tetapi ada saluran berbanding di kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Kick-Off Program Sejahtera Komuniti Madani (Sejati Madani) dan Pendaftaran Terbuka eKasih 2025 di bangunan pentadbiran negeri di sini, hari ini.

Peserta mendaftar Program Sejahtera Komuniti Madani (Sejati Madani) serta pendaftaran terbuka eKasih di foyer bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri pada 7 Oktober 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, Papparaidu menyeru lebih banyak komuniti atau persatuan memohon geran program Sejati Madani yang masih berbaki RM11 juta lagi untuk digunakan.

Tambahnya, ketika ini sebanyak 257 permohonan telah diluluskan di Selangor dengan nilai RM20.7 juta, dengan kebanyakan inisiatif membabitkan aktiviti pertanian yang mampu menjana pendapatan.

“Saya suka sangat apabila komuniti melakukan aktiviti seperti tanaman melon, penternakan ikan, dan kebanyakan lebih kepada pertanian. Bantuan ini dapat menyuntik semangat mereka untuk terus berusaha,” katanya.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu bersama peserta sempena Majlis Kick-Off Program Sejahtera Komuniti Madani (Sejati Madani) serta pendaftaran terbuka eKasih di foyer bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri pada 7 Oktober 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Dilancarkan pada Belanjawan 2024, program Sejati Madani merupakan gerakan nasional yang bertujuan mengangkat peranan rakyat sebagai pemacu utama pembangunan negara.

Pendekatan program ini meletakkan komuniti sebagai pemilik, pelaksana serta penentu arah perubahan di tempat mereka sendiri, dengan kerajaan memainkan peranan sebagai rakan strategik.