SHAH ALAM, 27 DIS: Lebih RM200,000 disalurkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) Daerah Sepang bagi kerja baik pulih dan pembinaan rumah asnaf serta baik pulih sekolah menerusi Program Serahan Bantuan kepada Asnaf dan Sekolah di Daerah Sepang.
Program berlangsung pada 26 Disember itu disempurnakan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Dr. Ani Ahmad, bersama Ketua Operasi Agihan Zakat LZS Daerah Sepang, Muhammad Ibrahim Selamat.
Antara bantuan yang disalurkan termasuk Bantuan Baik Pulih Sekolah (asnaf fisabilillah) berjumlah RM70,000, susulan insiden kebakaran yang berlaku pada akhir April 2025.
Selain itu, Bantuan Baik Pulih Rumah bernilai RM20,900 turut diberikan kepada Muhammad Akif yang merupakan seorang asnaf miskin di bawah kariah Masjid Sungai Buah, Kampung Orang Asli Sungai Buah.
Bantuan Pembinaan Rumah Baharu Asnaf Fakir berjumlah RM126,000 turut diserahkan kepada Mohamad Zaman, yang juga berada di bawah kariah masjid yang sama.
Menurut LZS, inisiatif tersebut membuktikan komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan golongan asnaf terus terpelihara.
"Diharap sumbangan ini dapat meringankan beban penerima serta memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat, selaras aspirasi Lembaga Zakat Selangor dalam memperkasa kehidupan golongan asnaf di Daerah Sepang," katanya menerusi kenyataan.


