SHAH ALAM, 27 FEB: Selangor mengumumkan Insentif Khas Kita Selangor Aidilfitri (IKSA) 2026 berjumlah RM66.25 juta yang akan memanfaatkan puluhan ribu penerima seluruh negeri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan berkenaan yang akan disalurkan 19 Mac ini merangkumi pemberian IKSA kepada semua penjawat awam negeri berjumlah satu bulan gaji atau minimum RM1,000.
Selain itu, IKSA satu bulan elaun atau minimum RM500 turut memanfaatkan pemimpin masyarakat seperti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pegawai perhubungan kampung baru/bagan, ketua komuniti India, Penyelia Wanita Berdaya (PWB) serta Penggerak Belia Selangor (PeBS).

Bagi petugas masjid dan guru rakyat di Selangor akan menerima insentif RM500 selain IKSA RM300 kepada 50,000 penjawat awam Persekutuan seperti anggota polis, tentera, bomba, guru dan jururawat bergaji RM3,000 dan ke bawah yang merupakan lantikan tetap dan berkhidmat di negeri ini.
Selain itu katanya Kerajaan Negeri turut bersetuju mengawalkan tarikh pembayaran gaji penjawat awam dari 16 Mac kepada 13 Mac bagi memberikan ruang yang sewajarnya untuk membuat persiapan Aidilfitri.
Selain itu, Amirudin turut mengumumkan IKSA RM1,000 kepada wartawan dan jurugambar berdaftar dengan Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (WAJAR).
“Penyaluran ini akan diuruskan melalui Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor dengan kerjasama Yayasan MBI menjelang Aidilfitri kelak,” katanya berucap pada Majlis Akrab Mahabbah Insani Ramadan di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam di sini, malam ini yang dihadiri kira-kira 1,000 hadirin.







