SHAH ALAM, 24 FEB: Usahawan yang ingin menjual bunga api sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 di Ampang Jaya masih boleh mengemukakan permohonan lesen sementara kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
MPAJ memaklumkan tempoh jualan yang dibenarkan adalah bermula 24 Februari hingga 25 Mac ini.
“Borang permohonan lesen sementara boleh dimuat turun melalui laman web www.mpaj.gov.my dan dihantar di Kaunter Lesen, Menara MPAJ,” menurut kenyataan itu hari ini.
Bagaimanapun, MPAJ memaklumkan kelulusan permohonan adalah tertakluk kepada kesesuaian tapak serta kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Usahawan MPAJ di talian 03-42857344," katanya.








