Pakar: Peningkatan pencipta kandungan dedah kelemahan pekerjaan tradisional

23 Feb 2026, 3:00 AM
Pakar: Peningkatan pencipta kandungan dedah kelemahan pekerjaan tradisional
Pakar: Peningkatan pencipta kandungan dedah kelemahan pekerjaan tradisional

SHAH ALAM, 23 FEB: Golongan pencipta kandungan dalam talian dan pempengaruh yang sekian lama membina ruang dalam ekonomi negara menerusi penerbitan video, kelas tuisyen dalam talian, jualan bakeri buatan sendiri serta penstriman langsung, bakal mendapat pengiktirafan lebih formal.

Selama ini, kerjaya mereka yang tidak diiktiraf secara rasmi menyebabkan sebahagian besar tidak direkodkan dalam tinjauan tenaga buruh negara.

Banci Ekonomi 2026 (BE2026) dijangka mengubah landskap tersebut. Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan banci kali ini memberi tumpuan lebih besar terhadap sektor tidak formal termasuk pencipta kandungan digital seperti YouTuber.

Buat pertama kali, kumpulan berkenaan akan dimasukkan secara rasmi dalam banci, sekali gus mengiktiraf sumbangan ekonomi digital yang semakin berkembang.

Pensyarah Malaysia University of Science and Technology (MUST), Prof Emeritus Barjoyai Bardai berkata langkah itu mencerminkan perubahan lebih luas dalam corak penyertaan rakyat Malaysia dalam ekonomi.

“Dengan menghitung pempengaruh dan YouTuber secara rasmi, Malaysia mengiktiraf penciptaan kandungan bukan lagi aktiviti pinggiran, sebaliknya satu sektor ekonomi yang sah.

“Rakyat kini semakin aktif dalam ekonomi melalui pekerjaan tidak tradisional menerusi platform digital, daripada penjaja yang menggunakan media sosial hingga usahawan mikro yang menjana pendapatan melalui audiens dalam talian,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau menambah, peningkatan pekerjaan digital khususnya penciptaan kandungan turut mencerminkan kelemahan lebih mendalam dalam pasaran kerja tradisional, walaupun pelbagai peluang baharu diwujudkan.

Perkara itu, jelasnya, selari dengan pemerhatian Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) bahawa golongan belia kerap menukar pekerjaan dalam tempoh 18 bulan pertama disebabkan peluang kemajuan kerjaya yang terhad, gaji tidak stabil serta ketidakpadanan budaya kerja.

Menurut Barjoyai, kecenderungan bertukar kerja secara kerap mencerminkan kebimbangan terhadap kualiti, kestabilan dan prospek kemajuan kerjaya, selain banyak peranan tradisional gagal memenuhi jangkaan golongan muda terhadap pekerjaan bermakna, peluang perkembangan serta keseimbangan kerja dan kehidupan.

“Pekerjaan tradisional tidak lagi menawarkan kestabilan atau pembangunan yang dicari anak muda, sekali gus mendorong mereka beralih kepada alternatif tidak formal atau digital,” katanya.

Pada 6 Januari lalu, dilaporkan buat julung kali BE2026 akan merangkumi sektor tidak formal termasuk pencipta kandungan digital, penjaja makanan, peniaga pasar, peruncit kecil, pengendali pengangkutan, pemilik inap desa, pusat tuisyen, perniagaan mikro bergerak serta pelbagai aktiviti sokongan yang menyumbang signifikan kepada ekonomi tempatan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pempengaruh dan pencipta kandungan yang sebelum ini hanya dianggarkan melalui pemodelan statistik, kini akan dikenal pasti menerusi pengesahan lapangan dan penjejakan digital sepanjang banci dilaksanakan dari Januari hingga Oktober, melibatkan 1.34 juta perniagaan dan organisasi.

Berita penuh di sini. 

Apa reaksi anda?