ad

Namewee dibebaskan dengan jamin polis sementara siasatan kes Iris Hsieh diteruskan

13 Nov 2025, 10:16 AM
Namewee dibebaskan dengan jamin polis sementara siasatan kes Iris Hsieh diteruskan

SHAH ALAM, 13 NOV: Penyanyi dan pengarah kontroversi, Wee Meng Chee atau Namewee, dibebaskan hari ini dengan jaminan polis sehingga 26 November sementara siasatan kes kematian pempengaruh Taiwan, Iris Hsieh Yu-hsin, diteruskan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata keputusan itu dibuat selepas kertas siasatan berhubung kematian wanita itu dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Kuala Lumpur hari ini, lapor Berita Harian.

“Susulan penelitian awal PPN, Namewee dibebaskan dengan jaminan polis sehingga 26 November. Polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat sebelum kertas siasatan dirujuk semula untuk arahan lanjut,” katanya.

Laporan bedah siasat itu akan menjadi asas utama sebelum pihak polis mengemukakan semula kertas siasatan lengkap kepada PPN bagi tindakan susulan.

Semalam, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata siasatan terhadap kematian pempengaruh Taiwan Hsieh Yun Hsin, 33, masih diteruskan dan arahan siasatan lanjut telah dikeluarkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata setakat ini tiada sebarang petunjuk mengaitkan Namewee dengan punca kematian wanita itu yang ditemukan dalam bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay pada 22 Okt.

Namewee direman pada 5 Nov dan tempoh reman berakhir hari ini.