BE2026: Kerajaan kumpul data 1.34 juta perniagaan, asas dasar ekonomi baharu

6 Jan 2026, 8:20 AM
BE2026: Kerajaan kumpul data 1.34 juta perniagaan, asas dasar ekonomi baharu

SEPANG, 6 JAN: Banci Ekonomi 2026 (BE2026) yang dijalankan dari Januari hingga Oktober di seluruh negara dijangka menyediakan data penting bagi membantu kerajaan menggubal dasar berasaskan bukti serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata banci itu memberi gambaran menyeluruh mengenai struktur dan prestasi ekonomi Malaysia berdasarkan data tahun 2025, melibatkan 1.34 juta perniagaan dan organisasi.

Menurutnya, pelaksanaan BE2026 dijalankan dalam tiga fasa menggunakan pelbagai kaedah pengumpulan data bagi memastikan ketepatan dan kadar penyertaan yang tinggi.

“Hari ini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memulakan pelaksanaan BE2026. Semalam adalah hari pertama dan kira-kira 5,000 responden telah terlibat di seluruh negara.

“Kami berharap banci ini dapat memberikan gambaran ekonomi Malaysia yang lebih lengkap,” katanya pada program pelancaran BE2026 di Medan Selera Bandar Baru Salak Tinggi, di sini.

Uzir berkata BE2026 merangkumi semua aktiviti ekonomi termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), organisasi bukan berasaskan keuntungan serta sektor tidak formal, dan akan menjadi rujukan penting kepada dasar nasional.

Katanya, dapatan banci juga membantu perniagaan menilai kedudukan sektor masing-masing serta mengenal pasti jurang dan cabaran yang dihadapi.

Beliau berkata fasa awal banci memberi tumpuan kepada perniagaan mikro dan tidak formal yang dianggarkan sekitar 300,000 di seluruh negara, termasuk peniaga kecil, pengusaha makanan dan penjaja.

“Kami menumpukan kumpulan ini kerana ramai tidak mempunyai akaun formal dan penting untuk memastikan tiada yang tercicir,” katanya.

Menurutnya, DOSM telah mengenal pasti 1,378 lokasi di seluruh negara yang menjalankan aktiviti ekonomi tidak formal tetapi mungkin tidak tersenarai dalam rekod rasmi.

Uzir berkata peranan ekonomi digital dan tidak formal semakin meningkat, dengan ramai peniaga kecil menggunakan media sosial dan platform dalam talian seperti TikTok untuk berniaga.

“Kami bertemu pengusaha yang mempunyai premis kecil tetapi aktif secara dalam talian. Data ini akan membantu membentuk garis dasar ekonomi baharu negara,” katanya.

Beliau berkata pempengaruh dan pencipta kandungan yang sebelum ini dianggarkan melalui pemodelan statistik kini akan dimasukkan melalui pengesahan lapangan dan penjejakan digital.

Selain itu, BE2026 turut menambah baik modul data bagi merekodkan profil perniagaan, kemahiran tenaga kerja, gaji, penggunaan input serta tahap penggunaan teknologi digital.

BE2026 dijalankan setiap lima tahun bagi menghasilkan data ekonomi yang menyeluruh, dengan tahun 2025 dijadikan tahun rujukan “normal” selepas pandemik Covid-19.