KLANG, 24 OGOS: Seorang pempengaruh terkenal bakal dilantik sebagai duta Rumpun Selangor bagi menyebar luas mesej perpaduan khususnya kepada golongan muda, kata EXCO perpaduan
Datuk Rizam Ismail berkata pelantikan duta itu bukan sahaja berperanan menyampaikan mesej perpaduan, malah turut mempromosikan sektor pelancongan dan ekonomi negeri.

“Selain meneruskan program Rumpun Selangor, kita juga bersetuju melantik duta daripada pempengaruh supaya mesej yang ingin disampaikan lebih mudah didengari khususnya anak muda.
“Selangor ini ibarat mini Malaysia yang majoriti semua ada. Tidak kira lahir di Selangor, bermastautin atau bekerja, mereka perlu tahu pentingnya perpaduan dan kemakmuran wajar dinikmati semua.
“Oleh itu, pelantikan duta ini akan diumumkan pada majlis perasmian Ekspo Kemerdekaan Kampung-Kampung Tradisi Selangor di Stadium Sungai Besar pada 30 Ogos nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Minggu Perpaduan peringkat Selangor di sini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Perpaduan Negara Senator K. Saraswathy.

Rizam turut memaklumkan Kerajaan Negeri sentiasa proaktif melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
Antara program yang dilaksanakan termasuk Rumpun Selangor yang menjelajah seluruh negeri bersama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
“Turut dilaksana Ekspo Kemerdekaan Kampung-Kampung Tradisi Selangor, pertandingan mencipta video pendek perpaduan, sambutan Minggu Perpaduan dan program bersama ketua kampung.
“Dengan kepelbagaian inisiatif ini dapat terus mendidik dan membudayakan sikap tanggungjawab serta sayangkan negara sekali gus memelihara kemerdekaan,” katanya.