SHAH ALAM, 9 NOV: Polis akan memohon lanjutan reman terhadap pengarah dan penyanyi kontroversi, Wee Meng Chee atau Namewee bagi membantu siasatan kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan di sebuah hotel, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam mengesahkan perkara itu dan memaklumkan permohonan sambungan reman berkenaan akan dibuat esok, lapor Kosmo!.
“Tempoh reman individu itu tamat esok dan kita akan mohon lanjutan bagi melengkapkan siasatan,” katanya, hari ini.
Sebelum ini, Namewee direman selama enam hari sehingga 10 November bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Siasatan dijalankan susulan kematian pempengaruh wanita berusia 31 tahun dari Taiwan yang ditemukan tidak bernyawa di bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay pada 22 Oktober lalu.
Penyanyi itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas diminta memberi keterangan berhubung kes berkenaan.
Sebelum ini, pihak polis memaklumkan siasatan menyeluruh sedang dijalankan dari pelbagai sudut, termasuk kemungkinan menahan individu terakhir yang dilaporkan bersama mangsa sebelum wanita itu ditemui maut.




