SHAH ALAM, 22 FEB: Sempena Aidilfitri, Kerajaan Negeri menerbitkan iklan pesanan khidmat masyarakat yang membawa mesej perpaduan dan sikap tolong menolong antara kaum.
EXCO kebudayaan berkata iklan pendek berdurasi kira-kira lima minit yang menampilkan pelakon antaranya Raja Azura dan Rushdi Ramli akan ditayangkan di siaran Media Selangor serta RTM.
“Tahun ini pentadbiran tak terbitkan drama. Kita buat iklan macam Petronas, bank RHB, BHP. Mesej iklan ni tekankan perpaduan dan tolong menolong antara kaum.
“Jalan ceritanya santai, banyak adegan ketawa tetapi mesej disampaikan besar. Dato’ Menteri Besar serta beberapa EXCO juga akan tampil dalam iklan ini,” kata Datuk Borhan Aman Shah kepada Media Selangor.
Beliau berkata iklan yang turut melibatkan artis berbangsa Cina dan India itu akan menjalani penggambaran sekitar Kuala Langat dalam masa terdekat.
“Selain iklan ini, rakaman takbir raya pemimpin Kerajaan Negeri yang dibuat di Masjid Jamek Cina Muslim di Klang juga akan ditayangkan di RTM pada raya nanti,” katanya.
Sejak 2021, Kerajaan Negeri menggunakan pengaruh selebriti bagi memperkenal inisiatif rakyat daripada bayi hingga warga emas. Pada tahun berkenaan, Senandung Aidilfitri pertama kali disiarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan.
Tahun berikutnya ia diteruskan dengan menampilkan artis terkenal antaranya Ziana Zain, Sissy Imann, Elyana Emrizal, Raja Azura, Bell Ngasri dan Azlee Senario.
Syawal seterusnya, drama terbitan Kerajaan Selangor pertama kali muncul dalam kaca televisyen siaran perdana dengan mempertaruhkan drama bertajuk Selalu Ada lakonan seniwati popular, Erra Fazira.
Telefilem seterusnya bertajuk Ayah Panggil Balik diterbitkan menampilkan nama-nama besar seperti Zaidi Omar, Fazlina Ahmad Daud, Syafie Naswip, Ropie dan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar.
Tahun lalu telefilem sarat dengan emosi bertajuk Hanya Kita, arahan Che Mie memaparkan kisah dua kanak-kanak yang menjadi yatim piatu setelah kehilangan ibu bapa mereka dalam satu kemalangan tragis.



