SHAH ALAM, 22 FEB: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan seorang lelaki berusia 65 tahun yang didakwa mengaku sebagai rasul di sebuah premis di Rawang, semalam.
Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata tangkapan itu turut melibatkan tiga individu lain termasuk seorang wanita.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati lelaki tersebut mendakwa telah bertemu Nabi Adam AS secara nyata pada waktu siang, manakala Nabi Muhammad SAW muncul dalam bentuk cahaya pada sebelah malam kepada pengikutnya.
"Berdasarkan siasatan awal, individu tersebut menyatakan kepada pengikutnya bahawa beliau bertemu para rasul dua hingga tiga kali seminggu dalam tempoh dua hingga tiga tahun lepas di sebuah taman negara di negara ini.
"Manakala, pengikutnya menyatakan bahawa individu tersebut adalah utusan Allah dan segala perlakuannya dianggap oleh pengikut sebagai suruhan Allah seperti tidak perlu solat atau berpuasa jika berasa letih dan uzur,” katanya.
Mohd Shahzihan berkata tangkapan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki melakukan perbuatan berhubung agama Islam yang bertentangan syarak, serta Seksyen 8 enakmen sama kerana didakwa mengisytiharkan diri sebagai rasul dan mendakwa mengetahui perkara di luar pemahaman manusia.
Beliau menambah, tindakan itu dijangka menyelesaikan aduan yang tular pada 9 Februari berhubung seorang individu mengaku sebagai rasul dan mempengaruhi ahli keluarganya.


