SHAH ALAM, 21 FEB: Umat Islam di Selangor diseru memanfaatkan Ramadan dengan meningkatkan amal ibadah dan mengimarahkan masjid dan surau.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Dato’ Setia Salehuddin Saidin berkata institusi agama yang aktif dengan program mampu membentuk perpaduan yang kukuh dalam kalangan jemaah.

" Marilah sama-sama kita mengimarahkan bulan Ramadan dalam membina ketakwaan kepada Allah SWT. Penuhilah masjid dan surau dengan membawa ahli keluarga kita untuk melaksanakan dan memperhebatkan amal ibadah sepanjang Ramadan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena majis Ihya’ Ramadan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri di sini semalam.

Pada majlis sama, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri sejumlah RM250,500 kepada 501 penerima asnaf, terdiri daripada fakir (200), miskin (241) dan muallaf (60) dengan masing-masing menerima RM500.
Baginda diiringi Tengku Permaisuri SelangorTengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Selain itu, Baginda turut berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada enam syarikat korporat berjumlah RM11.4 juta, termasuk Kumpulan Worldwide Holdings Berhad, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, Central Spectrum (M) Sdn Bhd, Rafulin Sdn Bhd dan Bank Islam Malaysia Berhad.

Hadir sama Dato' Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari, Mufti Selangor Dato’ Setia Anhar Haji Opir, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad dan Setiausaha MAIS Mohd Sabirin Mohd Sarbini.



