SHAH ALAM, 20 FEB: Sebanyak 11,000 bubur lambuk akan diagihkan menerusi Program Agihan Bubur Lambuk Rumpun Selangor di 11 lokasi seluruh Selangor sepanjang Ramadan ini.
EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail berkata menerusi program itu 1,000 bubur lambuk akan diagihkan di setiap lokasi, bermula di bazar Ramadan PKNS di sini hari ini yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Jelasnya, tahun ini tradisi berkenaan dijadual diteruskan di daerah melibatkan program Ihya’ Ramadan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama rakyat.

“Seperti tahun lalu, program ini kita akan laksanakan setiap bulan Ramadan. Jadi lokasi ini adalah yang pertama dan yang terakhir nanti kita akan buat di daerah Sabak Bernam.
“Di samping itu juga kita akan menyerahkan 2,000 bubur lambuk di (bangunan) SUK yang akan dilaksanakan juga Ramadan ini,” katanya ditemui selepas mengiringi Amirudin menyerahkan bubur lambuk kepada pengunjung bazar Ramadan PKNS hari ini.
Terdahulu, Amirudin yang meluangkan masa kira-kira 20 minit di bazar Ramadan berkenaan turut meluangkan masa beramah mesra dengan pengunjung selain melayan permintaan orang ramai untuk bergambar.






