SHAH ALAM, 18 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menziarahi dua mangsa insiden pokok tumbang di Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7 yang kini menerima rawatan di Hospital Shah Alam.
Keberangkatan Baginda disambut Pengarah Hospital Shah Alam, Dr Ruzita Othman; Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin serta Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Safriah Md Adzhar.
Baginda yang berbusana baju kurung meluangkan hampir setengah jam bertanya khabar serta menyampaikan buah tangan kepada kedua-dua mangsa.

Sementara itu, Shahrin berkata kedua-dua mangsa yang juga pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Kimia, UiTM Shah Alam menunjukkan perkembangan positif dan berada dalam keadaan stabil.
“Alhamdulillah kedua-duanya dalam keadaan sihat. Kita bersyukur kerana proses rawatan dan pemulihan agak segera, tiada kecederaan yang teruk atau melampau.
“Saya dimaklumkan, kalau perkembangan mereka bertambah baik, mereka dibenarkan keluar hospital dalam beberapa hari lagi. Mungkin ini juga keajaiban menjelang Ramadan ini,” katanya ketika ditemui pemberita.
Beliau menambah, kedua-dua mangsa akan memulakan latihan fisioterapi ringan bermula esok bagi membantu pergerakan badan, manakala pemulihan saraf dijangka mengambil masa sehingga tiga bulan.

Mengulas kejadian itu, Shahrin berkata kedua-dua mangsa baharu selesai menghadiri mesyuarat khas di fakulti sebelum keluar untuk makan tengah hari di kawasan berhampiran.
“Kita terima ketentuan Allah. Kita bersimpati dengan ujian, dan pasti ada hikmah. Kita doakan semuanya bersabar dan kembali pulih segera,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.11 tengah hari kelmarin, mangsa dikenali sebagai Dr Nur Shahidah Ab Aziz, 39, dan Dr Shareena Fairuz Abdul Manaf, 42, cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Seksyen 7 di sini.
Susulan insiden itu, Majlis Bandaraya Shah Alam mengaktifkan Audit Kecemasan bagi memeriksa pokok matang di sekitar Seksyen 7, selain melantik arborist bertauliah untuk menjalankan pemeriksaan teknikal terperinci.




