SHAH ALAM, 17 FEB: Pendigitalan pengurusan tanah perkuburan menerusi aplikasi e-Pusara membantu memudahkan urusan waris selain memastikan rekod pengebumian secara lebih sistematik dan teratur di bawah seliaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Menurut MBPJ, inisiatif digital itu dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan, mengelakkan pertindihan lot serta memudahkan semakan maklumat pengebumian oleh waris secara lebih pantas dan teratur.
“Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon turut turun padang meninjau plot baharu serta pemasangan ‘hoarding’ di Tanah Perkuburan Islam PJS 4 sebagai langkah memperkukuh pengurusan dan perancangan fasiliti tanah perkuburan.
“Ketika ini, hanya dua tanah perkuburan Islam di bawah seliaan MBPJ masih aktif menerima pengebumian iaitu Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 dengan baki 853 lot dan Tanah Perkuburan Islam PJS 4 dengan baki 1,068 lot,” katanya di Facebook.
MBPJ memaklumkan e-Pusara merekodkan data pengebumian secara berpusat dan sistematik bagi memudahkan pemantauan lot, perancangan tapak baharu serta mengurangkan kesilapan rekod.
Inisiatif berterusan itu juga selari dengan aspirasi Petaling Jaya Bandar Paling Bahagia dan Mampan dalam membangunkan perkhidmatan bandar yang cekap, tersusun dan berdaya huni demi kesejahteraan masyarakat setempat.
Aplikasi berkenaan boleh diakses melalui Google Play dan portal rasmi MBPJ untuk mendapatkan maklumat terperinci termasuk lokasi tanah perkuburan serta butiran si mati sekali gus membantu melancarkan urusan pengebumian dengan lebih pantas dan efisien.








