Polis Selangor tingkat rondaan cegah pecah rumah sempena Tahun Baharu Cina

14 Feb 2026, 11:16 AM
Polis Selangor tingkat rondaan cegah pecah rumah sempena Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 14 FEB: Polis memberi tumpuan terhadap jenayah pecah rumah sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, seramai 3,100 anggota digerakkan bagi melaksanakan operasi pencegahan jenayah secara menyeluruh, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, rondaan dan kehadiran polis di kawasan perumahan akan dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan harta benda penduduk terjamin.

“Antara jenayah yang sering berlaku ketika musim perayaan ialah pecah rumah. Kita akan tingkatkan rondaan bagi mencegah kejadian itu.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat jika mengesyaki sebarang aktiviti mencurigakan supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Walkabout Langkah Selamat Santuni Komuniti Kajang di MRT Stadium Kajang, hari ini.

Beliau berkata, maklumat boleh disalurkan melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), mengisi borang di balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah.

Katanya, kemudahan itu membolehkan orang ramai pulang beraya dengan lebih tenang tanpa bimbang meninggalkan rumah.

Shazeli turut menasihatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada dengan memastikan rumah dan kenderaan dikunci serta tidak berkongsi maklumat peribadi secara terbuka.

Mengulas program walkabout yang diadakan dengan kerjasama Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, beliau berkata ia bertujuan mengeratkan hubungan antara polis dan masyarakat.