SHAH ALAM, 14 FEB: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menyumbang sebuah wakaf kepada Sekolah Kebangsaan Batu Laut sebagai kemudahan tambahan untuk murid, sekali gus menyokong pelaksanaan projek Sekolah Angkat Madani.
Yang Dipertuanya, Mohd Hasry Nor Mohd berkata sumbangan itu bertujuan menyediakan ruang lebih kondusif dan selesa untuk kegunaan warga sekolah.
“Wakaf ini bukan sahaja berfungsi sebagai ruang santai dan rehat, malah boleh dimanfaatkan sebagai lokasi pembelajaran luar bilik darjah serta tempat murid menjamu selera dalam suasana yang lebih selesa,” katanya.
Sumbangan tersebut disampaikan sempena lawatan kerja Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar yang diiringi Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Mohd Azam Ahmad bagi meninjau pelaksanaan projek Sekolah Angkat Madani di sekolah itu.
Menurut Mohd Hasry, projek berkenaan memberi tumpuan kepada usaha memperkasa kemenjadian murid secara holistik melalui sokongan strategik pelbagai pihak.
“Ia merangkumi aspek prasarana, kebajikan, pembangunan sahsiah serta peningkatan kualiti pembelajaran hasil kolaborasi erat antara agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat,” katanya.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Pengarah Jabatan Landskap MPKL Ts. Mazlan Abdul Manap, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran MPKL Norain Mohamed serta Ahli Majlis (MPP) Zon 23 Rukiyah Kolamchery



