SHAH ALAM, 14 FEB: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) meraih empat anugerah dalam Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2025 yang diadakan bersempena Program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030.
Program berkenaan dianjurkan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) sebagai usaha memperkukuh komitmen pihak berkuasa tempatan (PBT) serta rakan strategik dalam pelaksanaan inisiatif rendah karbon.
Bagi kategori Rakan Kongsi, Ibu Pejabat MBSJ menerima pengiktirafan 4 Diamond, manakala Perpustakaan Hipermedia memperoleh pengiktirafan 5 Diamond dan Kompleks 3K Serdang Raya menerima pengiktirafan 3 Diamond.
Sementara itu, bagi kategori Zon, Bandar Sunway turut menerima pengiktirafan 3 Diamond.
Anugerah berkenaan disampaikan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dan diterima Datuk Bandar MBSJ, Dato' Amirul Azizan Abd Rahim.
Pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen berterusan MBSJ dalam menyokong agenda pembangunan mampan serta pengurangan pelepasan karbon selaras dengan matlamat Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030.


