Air Selangor rekod pertumbuhan stabil, perkukuh daya tahan sistem bekalan

13 Feb 2026, 12:00 PM
Air Selangor rekod pertumbuhan stabil, perkukuh daya tahan sistem bekalan

SHAH ALAM, 13 FEB: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) merekodkan pertumbuhan yang stabil pada 2025, sekali gus memperkukuh daya tahan sistem bekalan air dalam menyokong keperluan pengguna yang semakin meningkat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Syarikat perkhidmatan air itu dalam kenyataan memaklumkan antara pencapaian paling signifikan tahun ini ialah diterima sebagai ahli rangkaian global Leading Utilities of the World (LUOW). 

“Pencapaian ini disokong oleh tahap kesiapsiagaan operasi yang kukuh berteraskan pengurusan aset strategik dan kapasiti infrastruktur yang mampan. 

“Secara keseluruhannya, pencapaian ini mengukuhkan komitmen berterusan Air Selangor dalam menyediakan perkhidmatan air yang boleh dipercayai dan lestari selaras dengan janji jenamanya, ‘Setiap Titis Bermakna’,” kata kenyataan itu.  

Jelas Air Selangor, antara pencapaian pada 2025 ialah

  • Mencapai kadar Air Tidak Terhasil (NRW) sebanyak 26.76%, menunjukkan penambahbaikan berbanding 27% pada tahun 2024. 

  • Mengekalkan margin rizab air yang sihat sebanyak 17.86% setakat Disember 2025. 

  • Mencatatkan Indeks Paip Pecah (PBI) sebanyak 2.94 kes bagi setiap 100 kilometer setahun, lebih rendah daripada penanda aras antarabangsa iaitu 13 kes bagi setiap 100 kilometer. 

  • Mematuhi Piawaian Kualiti Air Minuman Kebangsaan (PKAMK) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak 99.96% secara konsisten melebihi 99% bagi tempoh lima tahun berturut-turut. 

  • Mempertingkat pembangunan Loji Air Pulih Guna (WRP) bagi operasi industri dan pusat data, membekalkan perkhidmatan air kepada dua pusat data utama di Selangor. 

  • Di bawah payung inisiatif Sesama Mara, termasuk program baharu Rumah Angkat Semai Nurani, 1,963 kotak bantuan diagihkan kepada 1,443 keluarga, menyokong 260 pelajar B40 melalui akses pembelajaran digital serta memberi manfaat kepada 1,618 penerima menerusi program perayaan sepanjang tahun.