SHAH ALAM, 13 FEB: Polis menahan seorang pelajar tingkatan lima yang disyaki mencederakan pelajar tingkatan satu menggunakan puntung rokok dalam kejadian di sebuah asrama sekolah di Bentong, Pahang, kelmarin.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek ditahan semalam selepas seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun dilaporkan melecur di bahagian dada akibat didera dengan puntung rokok, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira tengah malam di tandas asrama berkenaan.
“Siasatan awal mendapati mangsa didakwa didera kerana enggan menuruti arahan suspek supaya menghisap rokok, menyebabkan suspek berang.
“Mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada warden asrama sebelum dibawa ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan.
“Mangsa mengalami kecederaan melecur di dada akibat kesan puntung rokok dan menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, keluarga mangsa tampil membuat laporan polis susulan kejadian berkenaan, sebelum suspek diberkas di asrama sekolah itu.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk merakam keterangan beberapa saksi dan mengesan kemungkinan terdapat mangsa atau suspek lain yang terlibat,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan. Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.


