SHAH ALAM, 12 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat ke Forum Perdana Ehwal Islam anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) malam ini.
Berlangsung di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, forum bertajuk ‘Kelahiran Insan Riayah’ menampilkan Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir dan Timbalan Mufti Pahang Dato’ Badli Shah Alauddin sebagai panel.
Selesai majlis, Sultan Sharafuddin berkenan menerima sumbangan cek berjumlah lebih RM1.7 juta dari beberapa rakan strategik YIDE bagi menyokong usaha agensi itu dalam memartabatkan syiar Islam.
Antara penyumbang ialah Affin Islamic Bank Berhad berjumlah RM330,000 dan Westports Malaysia Sdn Bhd sebanyak RM500,000 untuk pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah.

Selain itu Malaysia Airports Holdings Berhad menyumbang RM850,000 untuk Pusat Dialisis KLIA Masjid Sultan Abdul Samad serta RM100,000 daripada Teraju Ekonomi Asnaf bagi menyokong pembangunan Kompleks Asrama Anak Yatim.
Sementara itu, YIDE berkata forum sempena sambutan ke-15 tahun agensi itu menjadi platform memperkukuh kefahaman ummah terhadap konsep tanggungjawab sosial, kebajikan dan kesejahtera anak yatim.
“Kandungan forum memfokuskan konsep riayah sebagai asas pemeliharaan dan tanggungjawab sosial terhadap anak yatim merangkumi aspek kebajikan, pendidikan, perlindungan hak serta pembentukan sahsiah. “
Kupasan turut menekankan peranan institusi, masyarakat dan individu dalam memastikan anak yatim dibesarkan dalam persekitaran selamat, sejahtera dan berteraskan nilai Islam,” katanya menerusi kenyataan.




