MBDK wujudkan 16 lokasi berkelah di Taman Pengkalan Batu

12 Feb 2026, 12:31 PM
MBDK wujudkan 16 lokasi berkelah di Taman Pengkalan Batu

KLANG, 12 FEB: Sebanyak 16 lokasi berkelah di Taman Pengkalan Batu, Sungai Klang ditetapkan sebagai hab rekreasi hasil usaha Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Datuk Bandar Klang Datuk Abd Hamid Hussain dipetik akhbar The Star sebagai berkata pengunjung juga boleh mendirikan khemah di sepanjang kawasan tepi sungai.

“Matlamat kami adalah untuk menjadikan kawasan tepi sungai ini sebagai ruang komuniti yang hidup, di mana orang ramai boleh berehat, berhubung dan menikmati masa berkualiti.

“Ruang-ruang ini bertujuan memupuk kebersamaan keluarga dan mengeratkan hubungan sosial,” katanya.

MBDK turut menggunakan semula batu bata daripada laluan pejalan kaki lama Jalan Istana sebagai tapak asas khemah, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Di bawah SDG 12 iaitu penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab, kami mengurangkan sisa pembinaan dan menjimatkan tenaga.

“Setiap batu bata yang digunakan semula dapat mengurangkan kira-kira 500 gram pelepasan karbon.”Menurutnya lagi, inisiatif ini juga selari dengan SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) serta SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur) bagi menggalakkan amalan ekonomi kitaran.

Datuk Bandar Klang Datuk Abd Hamid Hussain ketika Program Santai Datuk Bandar di Tapak Mural @ Jambatan Kota, Pengkalan Batu, Klang pada 7 Februari 2026. Foto Facebook Majlis Bandaraya Diraja Klang

Pengarah Komunikasi Korporat MBDK Norfiza Mahfiz pula menjelaskan yang beberapa kemudahan lampu, kamera litar tertutup (CCTV), soket elektrik dan bekalan air paip ditambah baik bagi mengekalkan keselesaan para pengunjung yang hadir.

“Pendaftaran diperlukan atas faktor keselamatan. Kadar bayaran akan diumumkan kemudian,” katanya.

Norfiza turut memaklumkan beberapa perancangan yang bakal diperkenalkan antaranya pasar hujung minggu, buaian gantung (hammock) dan meja berkelah bagi menggalakkan pengunjung meluangkan masa lebih lama di Kawasan tersebut.

"Pihak majlis turut menerima cadangan untuk membina zipline dari Jalan Pasar merentasi Sungai Klang ke kawasan tapak berkelah tersebut." katanya lagi.